RUKUN NEGARA yang ditubuhkan selepas tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969, merupakan hasil pemikiran Majlis Perundingan Negara (MAPEN) yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak. Tujuan utama prinsip Rukun Negara adalah untuk menyatukan semua kaum di bawah satu ideologi kenegaraan yang sama dan bersepadu. Pelbagai usaha telah dijalankan untuk menerapkan nila-nilai yang terkandung di dalam Prinsip Rukun Negara agar ia praktikal untuk semua lapisan masyarakat. Sehubungan dengan itu, pada Ogos 2004, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah diarahkan untuk menyediakan Kertas Jemaah Menteri untuk meluaskan pelaksanaan Kelab Rukun Negara di sekolah-sekolah ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta. Hal ini bertujuan untuk memperkukuhkan Pengetahuan, Pemahaman, Penghayatan dan Pengamalan (4P) golongan mahasiswa terhadap Prinsip Rukun Negara. Rukun Negara perlu menjadi pegangan, panduan dan amalan oleh seluruh rakyat Malaysia ke arah pemupukan dan pengukuhan semangat perpaduan ketaatan dan kecintaan kepada negara dan bangsa. Rakyat Malaysia perlu memahami sedalam-dalamnya lima prinsip Rukun Negara tersebut dan bukan sekadar melafazkannya.
No comments:
Post a Comment